Usaha media Barat menggugat Islam sia-sia

Media massa merupakan medium yang paling efektif untuk menyebarluaskan informasi bukan sahaja kepada kelompok setempat bahkan kepada seluruh pelosok masyarakat secara meluas, cepat dan berkesan. Kita sedia maklum Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dari sudut media.


Bagi dunia Barat, Islam dan penganutnya adalah kelompok masyarakat yang harus dicurigai dan dibenci. Lebih memuncak kebencian mereka selepas peristiwa kemusnahan World Trade Centre bertempat di New York City, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Sejurus selepas peristiwa itu, terdapat beberapa isu yang sangat mencalarkan imej Islam. Antaranya ialah filem Fitna yang dihasilkan oleh seorang ahli parlimen Belanda, Geert Wilders. Filem selama 15 minit itu disiarkan di sebuah laman web pada 27 Mac jelas berbau anti-Islam yang menunjukkan ayat-ayat al-Quran dengan berlatarbelakangkan imej keganasan.

Tatkala masih berdarah luka di hati orang Islam dengan penghinaan oleh filem Fitna, hati mereka ditusuk dan dirobek pula dengan tindakan berani beberapa akhbar-akhbar Eropah yang mengulang siar karikatur menghina Nabi Muhammad SAW selepas dimulakan oleh akhbar Denmark. Tidak setakat itu, pada 26Mac 2010, Berita Harian online melaporkan Sepanyol pula mengadakan pameran “Seni” Hina Islam. Kemungkinan pameran ini diutarakan oleh mereka yang sangat busuk hatinya.

Biarpun sehingga saat ini media Barat masih tidak henti-henti mencipta propaganda dan bertungkus – lumus mewujudkan persepsi Islamophobia serta menanam kebencian dunia terhadap Islam, namun hakikat sebenarnya segala usaha mereka hanyalah sia-sia. Bahkan tragedi 11 September secara tidak langsung memperkenalkan Islam kepada dunia.

Sungguhpun masyarakat Barat umumnya tidak dapat menerima Islam, tetapi hakikatnya sudah terang lagi bersuluh saintis mereka sendiri mengakui bahawa Islam agama yang terpelihara dan mereka mengakui keindahan Islam. Bahkan saintis Barat juga mempercayai kebenaran al-Quran yang berkaitan fenomena sains, antaranya ialah Prof. Dr Keith L. Moore, Kanada, penulis “Developing Human”, Dr TV. N Persuad, Kanada, Dr E Marshall Johnson, Universiti Thomas Jeffersson, USA, Dr Gerald C Georinger, Universiti Georgetown, Washington DC, USA, Prof. Alter Kroner, Universiti Mainz, Jerman dan ramai lagi.

Menurut Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang berkongsi pengalamannya dalam blog miliknya, semasa peringkat awal insiden 11 September, ketika beliau bertugas sebagai imam di Belfast Islamic Centre, kawasan itu memang menjadi sasaran kemarahan penduduk di sekitar Belfast. Namun selepas kemarahan masyarakat setempat di Belfast reda, kebanyakan masjid sekitar United Kingdom dan Ireland menjadi tumpuan orang ramai khususnya mereka yang tidak tahu apa-apa langsung tentang Islam.

Terdapat satu artikel yang menarik di International Herald Tribune pada 20 Julai 2004 yang berjudul: Europe fears threat from its convert to Islam. Artikel yang ditulis oleh Craigh S.smith menceritakan tentang dua pemuda Prancis, David dan Jerome yang memeluk Islam tetapi akhirnya ditahan atas tuduhan pengganas. Penahanan dua orang pemuda Prancis tersebut telah meningkatkan jumlah penduduk Eropah menganut agama Islam.

Pada tahun 2003 pula dilaporkan sekitar 30,000-50,000 orang perancis telahpun memeluk Islam. Malah Islam merupakanagama yang paling cepat berkembang di Eropah.

Bagi memulihkan kembali imej Islam, ahli-ahli akademik telah mengarang buku-buku untuk memperjelaskan tentang Islam. Antaranya ialah The Cultural Atlas of Islam yang ditulis oleh Prof. Ismail al-Faruqi sesuai untuk mereka yang Ingin memahami Islam sebagai sumber tamadun. Buku berjudul Islam the Misunderstood Religion karya Prof. Hamidullah sangat bermanfaat untuk dikongsikan bersama mereka yang anti-Islam.

Kini keindahan Islam diakui sendiri oleh media-media Barat berikutan rancangan program realiti Imam Muda yang disiarkan di Astro Oasis yang memaparkan nilai-nilai murni agama Islam dan penganutnya. Program ini bukan sahaja mendapat liputan media Malaysia, malah media dari Singapura, Jepun, Jerman, England dan Australia.