Kedah taja kos pulang, wang saku pelajar Mesir

BERITA HARIAN-28/2/2011


ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan menaja kos penerbangan pulang selain memberi wang saku RM500 seorang kepada lebih 800 pelajar Kedah di Mesir yang pulang ke tanah air menerusi Ops Piramid 3 hingga 11 Februari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata kerajaan negeri sudah menyewa tiga kapal terbang Egypt Air untuk membawa pulang kumpulan pelajar berkenaan menerusi empat penerbangan bermula 5 hingga 10 Mac ini dengan kos keseluruhan bernilai RM2.5 juta.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan tiga bas untuk membawa kumpulan pelajar yang akan berkumpul di Dataran Wisma Darul Aman sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diterbangkan ke Kaherah.
“Perkara ini akan diuruskan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) bermula 5 Mac ini dengan setiap penerbangan membawa kira-kira 222 pelajar selain memberi wang saku RM500 kepada mereka.

“Semua pelajar berkenaan boleh mendaftar di YINK untuk menyemak tarikh penerbangan masing-masing dan mengambil wang saku berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Pelajar Kedah di Mesir di sini, semalam.

Azizan berkata, Kerajaan Kedah menjadi kerajaan negeri pertama yang melakukan penghantaran terus pelajarnya ke Kaherah tanpa perlu ke Jeddah, bagi memudahkan urusan pelajar terbabit.

“Justeru, kita berharap selepas ini semua pelajar Kedah di Mesir supaya mendaftar dengan YINK kerana ia penting bagi memudahkan tindakan sekiranya berlaku konflik dan ketegangan di negara berkenaan,” katanya.
Azizan berkata, pelajar tajaan MARA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dikecualikan daripada menerima tajaan kos pulang ke Mesir berkenaan kerana dua agensi berkenaan sudah menyediakan perancangan untuk pelajar tajaan mereka.

Difahamkan, secara keseluruhannya seramai 1,116 pelajar Kedah menuntut di Mesir.

0 comments:

Post a Comment